kisahku...

Tuesday, March 4, 2008

Kesukarelawan Pada Masa Kini...

Dalam kehidupan sehari-hari, kita sering mendengar, melihat dan membaca seseorang, sebuah lembaga atau kumpulan-kumpulan melakukan kegiatan sukarela. Kegiatan tersebut bertujuan untuk membantu orang lain agar keluar dari permasalahan sehingga lebih baik dalam menghadapi hidupnya. Dari sini kegiatan sukarela mampu memupuk semangat bermasyarakat agar lebih bekerjasama, tolong-menolong dan prihatin akan hidup orang lain. Tambahan pula, kegiatan sukarela ini selaras dengan ajaran semua agama yang menggalakkan umatnya untuk saling bantu-membantu dan berganding bahu di dalam perkara-perkara kebajikan kerana dengan melakukan amal kebajikan akan mampu menghilangkan segala kejahatan sebagaimana firman Allah Subhanahu Taala di dalam Surah Huud ayat 114 tafsirnya:

"Sesungguhnya segala kebaikan itu dapat menghapuskan segala kejahatan.''

Dalam hadis Baginda, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga menggalakkan umatnya untuk melakukan kebajikan kepada orang lain. Sebagaimana dalam hadis Baginda yang bermaksud:

"Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkah laku yang paling disukai ialah yang menggembirakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan.''

semangat kesukarelaan dikatakan hampir mati. Ada yang sinis mengatakan bahawa orang hanya akan menyumbangkan sesuatu secara sukarela sekiranya ada `4T', iaitu kemeja T, teh, tambang dan liputan televisyen. Dari segi lain, ada pula kekangan tertentu membantutkan kesukarelaan, iaitu kurangnya pengiktirafan, kemudahan, jaringan dan promosi.

Namun begitu, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada pengurusan universiti untuk mengambil tindakan bagi menarik lebih ramai penglibatan pelajar semua kaum dalam kegiatan sukarelawan mesti diberi perhatian serius. Ini kerana hubungan antara universiti, mahasiswa dan kesukarelawanan adalah berkait rapat dan ia juga meletakkan menara gading itu di tengah-tengah masyarakat yang merupakan medan sebenar aktiviti mereka. Di samping itu, universiti merupakan pusat tempat mendidik mahasiswa untuk melahirkan para pemimpin dan pelopor bagi negara yang mampu memberi sumbangan kepada rakyat dan masyarakat. Aktivisme kesukarelawanan melalui kerja-kerja amal ini mendatangkan manfaat dua hala, baik bagi mahasiswa berkenaan mahupun anggota masyarakat yang menerimanya. Di sini dapatlah dilihat betapa berkait rapat antara mahasiswa dan rakyat melalui kerja-kerja amal berbentuk sukarela. Dengan kesedaran terhadap kepentingan kesukarelawanan, pihak pentadbir universiti yang mempunyai peranan besar mendukung usaha mewujudkan mahasiswa unggul akan selanjutnya berjaya menjadikan menara gading benar-benar berfungsi untuk masyarakat, rakyat dan negara.

No comments: