kisahku...

Thursday, April 3, 2008

JURNALKU...

Saya merupakan pelajar semester akhir Bacelor Komunikasi. Saya telah dilahirkan pada 5 Februari 1985 di Kuala Kangsar, Perak. Meskipun saya dilahirkan dalam keluarga yang boleh dianggap senang tidak semestinya saya dahulunya hidup dalam serba serbi kemewahan. Hakikatnya pengalaman hiduplah yang banyak mengajar saya erti kehidupan. Pengembaran sudah tentu mengalami suka-duka, pahit-maung, ceria dan suka dan pelbagai pengalaman berbeza yang menjadi memori kehidupan bagi seseorang. Memori ini mungkin diabadikan dalam pelbagai bentuk sama ada gambar, video dan sebagainya begitu juga dengan saya. Sepanjang melalui kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, ia telah memberi banyak ilmu berguna kepada saya. Iaitu melalui Kursus-kursus yang telah saya ambil sehingga saat ini. Kesempatan ini telah membolehkan saya mencoretkan kisah-kisah sepanjang saya mengikuti kursus Bahasa Dalam Multimedia (BBM3410).

Sepanjang tempoh hampir 14 minggu mengikuti kursus Bahasa Dalam Multimedia memberikan seribu satu erti dan pengalaman pahit manis yang tidak dapat saya lupakan. Secara peribadi saya menyatakan bahawa pilihan untuk mengikuti kursus ini adalah sekadar untuk memenuhi jam kredit untuk bergraduat pada tahun ini. Perkenalan dengan kursus ini juga melalui pelajar senior Komunikasi. Beliau yang telah banyak membantu saya dalam pemilihan subjek elektif. Untuk membuat pilihan amat sukar sama ada hendak terus mendaftar kursus ini ataupun tidak. Kehidupan saya di UPM selalunya bergerak sendirian. Semasa minggu pertama kelas bermula saya telah masuk ke kelas Bahasa Dalam Multimedia tanpa mendaftar. Agak segan dan terkial-kial kerana tidak mengenali sesiapa pun pada ketika itu dan satu-satunya pelajar Komunikasi yang ada dalam himpunan pelajar Bahasa Melayu. Saya agak hairan mengapa terlalu ramai pelajar yang mengikuti kursus ini? Apa yang menarik minat mereka semua? Terlalu banyak persoalan yang timbul dalam kotak fikiran saya saat itu. Kursus Bahasa Dalam Multimedia, macam biasa sahaja. Tiada apa-apa yang menarik rasanya. Keadaan dalam Bilik Jauhari pada ketika itu terlalu padat, bising dan agak kelam kabut. Semasa saya keseorangan ketika itu, muncul beberapa orang pelajar Komunikasi yang saya anggap pengikut-pengikut saya yang akan berjuang dalam kursus ini. Terasa lega dihati ini. Apabila pensyarah menyebut nama-nama pelajar yang telah mendaftar sememangnya nama saya dan rakan-rakan tidak disebut. Mengikut kuota dan ISO dalam setiap kelas pelajar tidak boleh melebihi dari 60 orang dan keatas serta pelajar yang tidak mendaftar tidak boleh mengambil kursus berkenaan. Nasib kami pada masa itu agak terumbang-ambing. Mungkin diterima ataupun sebaliknya. Dalam keadaan yang agak keliru, tiba-tiba muncul seorang perempuan yang gaya seperti seorang artis dari segi pemakaian dan tutur katanya. Beliau masuk dan melemparkan senyuman ke arah kami semua. Keadaan di dalam kelas menjadi sangat gamat di mana beberapa orang pelajar telah menegurnya seperti seorang kawan sahaja. Saya ada juga terdengar pelajar-pelajar memanggil namanya. ‘Apa khabar Dr.Normaliza? Herm mungkin itulah nama beliau. Seingat saya, sewaktu senior saya memperkenalkan kursus ini dahulu, dia juga ada menyebut nama pensyarah ini. Katanya pensyarah ini sangat sporting dan mesra dengan pelajar. Akhirnya nama-nama pelajar yang tidak tersenarai di masukkan ke kelas beliau termasuklah saya. Gembira juga rasanya, akhirnya dapat juga saya melengkapkan jumlah jam kredit. Sesi perkenalan dengan beliau bermula. Dr.Normaliza sangat lantang bersuara walaupun orangnya kecil. Kadang-kadang beliau mampu berjenaka. Tetapi saya masih mempunyai rasa takut dan segan terhadap beliau mungkin kerana beliau juga sangat tegas dan suka sergah. Penegasan yang Dr. Normaliza ungkapkan masih segar dalam ingatan saya iaitu berkaitan kehadiran ke kuliah dan amali. Beliau sangat menitikberatkan tentang kehadiran para pelajar. Amaran dari beliau juga kepada para pelajar yang lewat ke kuliah. Mulai dari saat itu, saya sangat menghormati segala keputusan yang beliau lontarkan kerana setiap apa yang dikatakan oleh beliau pasti beliau akan kotakan. Walaupun kadang-kadang terdetik di hati saya seperti satu ugutan tetapi saya cuba untuk mematuhinya.

Pada minggu kedua kuliah kami telah pun diberi tugasan. Tugasan yang berkaitan dengan asas grafik. Ini merupakan kerja kumpulan yang pertama kepada saya. Namun begitu bilangan ahli kumpulan saya tidak cukup. Kami hanya bertiga ketika itu. Tengku Noraiza, Suhaila dan saya perlu menyelesaikan 2 tugasan dalam tempoh masa 2 jam. Kami perlu membuat pemilihan iklan yang mempunyai asas-asas grafik iaitu dari aspek warna, teks, mudah dan keseimbangan. Saya ingatkan Dr. Normaliza akan memberi kami membawa balik tugasan itu dan hantar pada minggu hadapan. Tetapi tanggapan kami meleset. Kami perlu menyelesaikan kedua-dua tugasan pada hari berkenaan juga. Rasa sangat tertekan. Kelam-kabut hendak menyelesaikan dua perkara dalam satu masa. Saya teringat lagi ungkapan Tengku Noraiza, “nak tak nak kita kena buat juga”. Saya malas hendak membuang masa dengan membebel atau melayan perasaan. Yang pasti tugasan tersebut perlu diselesaikan segera. Semasa mula-mula kami diberitahu mengenai tugasan yang perlu dibuat, terdetik di hati saya, “ni mesti nak buat kerja tampal-menampal macam sekolah rendah dulu”. Tanpa disangka-sangka tekaan saya tepat. Saya bukan seorang yang sangat kreatif dalam seni. Tetapi dalam mengikuti kelas Bahasa Dalam Multimedia saya perlu ‘mengkreatifkan’ diri untuk membuat yang terbaik. Dalam keadaan kelam-kabut tersebut, saya terasa hendak menangis kerana saya merupakan seorang yang susah hendak berpuas hati dalam membuat sesuatu kerja. Saya dikenali oleh rakan-rakan sebagai individu yang sangat mengambil berat setiap perkara walaupun ianya remeh. Namun dalam keadaan yang terdesak saya terpaksa berpuas hati dengan hasil yang kami telah lakukan. Akhirnya kami bertiga dapat menyiapkan tugasan tersebut. Saya berlari ke bilik Dr. Normaliza untuk menghantar tugasan, takut-takut dia tidak menerima tugasan kami. Saya menunjukkan hasil kerja kumpulan kami. Alhamdulillah kami mendapat pujian. Kata-kata Dr.Normaliza pada masa itu, ‘bagus! Satu-satunya kumpulan yang berjaya memenuhi kriteria dan hasil kerja yang penuh dan menarik’. Pada ketika itu terasa hendak melonjak kegembiraan. Tetapi bersabar sebab saya hendak berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakan yang lain. Pada dasarnya, memang lumrah kehidupan manusia akan gembira apabila diberi penghargaan walaupun berbentuk intangible atau kata-kata semangat.

Dalam mengikuti kursus BBM3410, pelajar diberi peluang menunjukkan bakat sebagai jurugambar dan model. Kami dikehendaki mengambil gambar mengikut kriteria yang telah ditetapkan. Pelbagai gambar yang kami ambil bagi membentuk satu jalan cerita berdasarkan gambar yang diambil. Dr. Normaliza turut memberi pendedahan kepada kami tentang aksi atau pose yang menarik dan tidak hanya berdiri tegak seperti mengambil gambar paspot. Walaupun saya mengambil Bacelor Komunikasi, secara peribadi pendekatan yang dilakukan oleh Dr. Normaliza lebih baik berbanding pensyarah Komunikasi. Bukan hendak membodek atau mengambil hati tetapi ia kenyataan yang dapat saya lihat. Pendekatan Student Center Learning (SCL) yang digunakan oleh Dr. Normaliza telah membolehkan pelajar dapat menghasilkan kerja atau tugasan yang lebih terbuka. Kuliah yang berorientasikan pelajar dan pensyarah ini jarang digunapakai oleh pensyarah. Pada hikmat saya, pendekatan ini seharusnya diketengah di kalangan pensyarah. Dengan kaedah ini pelajar akan lebih memahami situasi sebenar tentang sesuatu kursus. Para pelajar diberi peluang mengeluarkan idea dan komitmen terhadap tugasan yang diberikan. Memang tidak dinafikan bahawa kadang kala, saya juga tidak berminat dengan suasana pembelajaran yang dipelopori oleh pensyarah. Terutamanya apabila terdapat sesetengah pensyarah yang tidak dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Para pelajar mungkin akan bosan dan tertidur di dalam kuliah. Gambar-gambar yang kami ambil perlu di persembahan dalam bentuk slide show Power Point presentation. Tema persembahan kami berkaitan ‘Perjuangan’. Di dalam slide tersebut kumpulan saya telah menyelitkan lagu nyanyian Ella yang bertajuk ‘Standing In The Eyes’. Alhamdulillah prestasi kami sekali lagi mendapat pujian kerana tema yang kami cuba sampaikan selari dengan gambar dan lagu. Penghargaan yang kami perolehi telah menambahkan minat saya terhadap kursus ini. Namun saya tetap bersedih kerana markah kumpulan terpaksa ditolak akibat kelewatan rakan saya ke kuliah. Seperti yang diungkapkan pada awal kuliah, Dr. Normaliza menunaikan kata-katanya. Saya seperti tidak berpuas hati kerana bagi saya kesilapan yang dilakukan oleh rakan saya perlu ditanggung olehnya bukan ditanggung oleh seluruh ahli kumpulan. Ini kerana kami telah berusaha melakukan yang terbaik dan bekerja keras. Terasa seperti tidak adil dan sangat kecewa pada saat itu. Namun apakan daya, kuasa terletak ditangan Dr. Normaliza. Saya cuba juga merayu namun tidak berjaya. Mungkin saya tidak mahir berunding dan tidak berjaya meyakinkan beliau.

Pengalaman belajar Adobe Photoshop juga telah member ilmu yang amat berguna kepada saya. Jika sebelum ini boleh dikatakan saya langsung tidak tahu mengenai selok-belok Adobe Photoshop. Agak sukar pada mulanya. Usaha dan kecekalan untuk menyiapkan projek kalendar membuatkan diri ini cuba untuk menguasai kemahiran menggunakan perisian berkenaan. Saya telah membuat 3 design atau corak kalendar untuk ditunjukkan kepada Cik Aliya. Disebabkan saya ini tidak berapa kreatif dan design saya perlu banyak diperbaiki. Kata Cik Aliya, ‘kalau Dr. tengok ni sure dia kata tak nampak apa-apa effect pun’. Saya terima kritikan tersebut sebagai suatu yang positif untuk membangunkan diri. Mungkin ada kebenarannya yang perlu saya akui.

Dalam kuliah yang berikutnya kami telah diajar untuk membuat storyboard bagi sebuah majalah baru. Nama majalah kami ‘ALAMAK!’. Konsep majalah yang kami cuba ketengahkan adalah majalah yang berbentuk mangga atau komik untuk golongan remaja. Sekali lagi kami perlu menunjukkan bakat melukis dan mewarna kami. Dalam kursus BBM 3410 ini lukisan dan kertas warna telah sebati dalam diri kami. Boleh dikatakan setiap aktiviti atau tugasan menggunakan pensil warna. Setelah siap majalah tersebut saya mendapati hasil kerja kami seperti budak-budak sekolah. Al-maklumlah ahli kumpulan saya termasuklah diri ini, memang tidak mahir dalam bab-bab melukis. Masa pendidikan seni di sekolah rendah dulu, sekiranya saya perlu melukis saya akan meminta kakak saya untuk melukiskannya. Saya hanya mewarnakan sahaja lukisan tersebut. Agak kelakar apabila kini saya perlu membuatnya sendiri. Tetapi tugasan kami ini perlu dihantar pada hari kuliah seperti tugasan-tugasan yang sebelum ini. Apa lagi, kami masing-masing cuba menunjukkan bakat terpendam dan dilakarkan pada lukisan tersebut. Setelah semuanya selesai kami masing-masing tertawa sesama sendiri melihat hasil kerja kami. Memang tidak disangka-sangka kami juga berbakat walaupun tidak secantik mana. Namun berkat kerja berpasukan segalanya berhasil.

Antara aktiviti yang agak menarik juga apabila kami diminta membuat satu origami yang mempunyai 15 lipatan. Sebelum itu kami telah diajar oleh Dr. Normaliza untuk membuat origami berbentuk kotak kecil. Saya tertanya-tanya mengapa kami perlu membuat benda-benda seperti ini di dalam kelas Multimedia. Macam aktiviti budak-budak sekolah sahaja. Kadang kala terasa sangat pelik. Mungkin beliau mempunyai alasan tersendiri mengapa aktiviti tersebut dijalankan kepada kami. Namun tugasan tetap diselesaikan. Kata Dr. Normaliza setiap aktiviti yang beliau lakukan memang ada kaitan dengan Multimedia. Jadi tanpa bertanya banyak kami cuba menghasilkan beberapa origami. Pada mulanya saya membuat origami berbentuk hati, tetapi tidak diterima. Seterusnya kami membuat origami berbentuk bintang tetap ditolak. Antara beberapa origami yang telah kami siapkan tetapi akhirnya tetap ditolak adalah seperti origami berbentuk katak, tanglong, kapal terbang dan kereta. Memandangkan saya tidak begitu kreatif, saya telah menyerahkan tanggungjawab kepada rakan saya untuk menghasilkan origami seterusnya. Akhirnya terbentuklah origami berbentuk rama-rama dan diterima.

Di samping mendapat pujian, saya juga tidak lari dari ditegur dan dimarah. Saya masih teringat di mana Cik Aliya yang merupakan tutor saya yang dikenali sebagai seorang yang sangat tegas. Kata rakan saya Wahida, kalau tugasan tidak dapat disiapkan Cik Aliya akan menghalau pelajar keluar dari kelas. Dengan perasaan yang sangat takut saya telah masuk ke makmal. Saya telah menyiapkan tugasan slide Power Point seperti yang ditugaskan tetapi perasaan takut masih menyelubungi diri. Sewaktu mencuba slide berkenaan di komputer slide saya tidak dapat berfungsi dengan baik. Saya telah memaklumkan kepada Cik Aliya tetapi saya disergah. Saya menjadi bertambah gugup pada masa itu. Dengan nada yang tinggi, Cik Aliya telah mengeluarkan kata-kata, ‘pelajar yang tidak siap sila keluar dari kelas ini’. Seorang demi seorang pelajar meninggalkan makmal. Hanya tinggal beberapa orang sahaja di dalam makmal tersebut. Saya masih tidak berganjak kerana saya telah berusaha menyiapkannya tetapi ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Saya berusaha juga mencari jalan penyelesaian supaya saya dapat membentangkan hasil tugasan saya pada hari tersebut. Alhamdulillah saya dapat mengatasinya tetapi saya tidak berpuas hati dengan hasil yang saya lakukan. Pada akhir amali saya telah meminta maaf kepada Cik Aliya tetapi ungkapan saya tidak diendahkan. Sedikit kecewa tetapi saya cuba memahami keadaan beliau. Mungkin beliau tidak suka pelajar yang tidak menyelesaikan tugasan mengikut masa yang telah ditetapkan dan mungkin emosinya terganggu ketika itu.

Kami telah mempersembahkan hasil lawatan kami ke Rumah Limpahan Kasih, Puchong melalui Power Point. Ini merupakan tugasan terakhir kami. Pada dasarnya saya berasa bangga dengan tugasan yang kami lakukan. Dan saya dapat rasakan Dr. Normaliza juga mengalami perasaan yang sama. Kami berjaya menghasilkan satu slide persembahan dan rakaman video daripada aktiviti yang dijalankan. Tetapi saya tidak pasti sama ada Dr. Nornaliza berpuas hati dengan persembahan kumpulan kami ataupun tidak.

Masa bersama Dr. Normaliza dan Cik Aliya berlalu dengan pantas. Saya telah mula berbaik dengan Cik Aliya. Jika dahulu, saya memang takut hendak mendekatinya. Al-maklumlah pada awal perkenalan dengan Cik Aliya, beliau juga seperti Dr. Normaliza. Garang, serius, tegas dan sangat jarang bercakap atau bertegur sapa dengan pelajar. Tetapi entah bagaimana saya mula suka untuk berinteraksi lebih dekat dengannya. Mungkin sejak saya memberitahunya bahawa saya tidak dapat hadir amali akibat pengsan. Pada hari Rabu bersamaan 12 Mac 2008 saya tidak dapat hadir ke amali kerana demam yang teruk. Pada sebelah paginya saya gagahkan diri juga untuk ke kuliah. Tetapi malang tidak berbau saya telah pengsan dan jatuh di Pusat Kesihatan UPM. Nasib saya baik kerana dibantu oleh jururawat yang berada di kaunter pada ketika itu. Selepas sedarkan diri saya terus menelefon Cik Aliya untuk memaklumkan kepada beliau bahawa saya tidak dapat hadir amali pada malam berkenaan. Respon Cik Aliya sangat supportive. Saya terasa sangat terharu dan beliau sangat mengambil berat seperti seorang kakak melayan adiknya. Hati saya sangat tersentuh. Pada keesokkan harinya, Cik Aliya menghantar mesej dan bertanya khabar dan perkembangan diri saya. Mungkin layanan yang beliau berikan sama sahaja kepada semua pelajar tetapi saya terasa sangat dihargai. Sejak dari itu, saya mula berkongsi cerita dengan beliau. Dari cerita suka sehinggalah kisah duka saya berkongsi dan meminta pendapat beliau. Secara kebetulan kami mempunyai kisah yang sama. Walaupun saya agak rapat dengan Cik Aliya tidak bermakna saya boleh mengambil kesempatan daripada hubungan tersebut. Saya juga masih lagi menjaga batas antara seorang pelajar dengan tutor ataupun pensyarah. Saya masih menghormatinya walaupun kami seperti kawan.

Bersamaan 7 Julai 2008 merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan iaitu menjalankan tugas bagi kursus Bahasa Dalam Multimedia. Dalam kursus ini kami telah diberi kesempatan untuk menjalankan projek multimedia iaitu dengan melawat dan melakukan aktiviti ke rumah anak-anak yatim. Kesempatan dan peluang yang diberikan telah membawa saya dan kumpulan ke Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong. Rumah anak yatim ini menempatkan lebih kurang 50 orang anak-anak yang telah ketiadaan kedua orang tua mereka. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 1 jam dari Universiti Putra Malaysia ke Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong telah membawa seribu satu erti kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Setibanya kami di sana, kelibat kanak-kanak kecil sedang asyik bermain-main. Jauh disudut hati saya menyatakan mereka ini terlalu muda untuk melalui kehidupan di temapat ini. Gelak, tawa riang kanak-kanak ini membuatkan hati saya terpanggil untuk mendekati si kecil. Misi saya dan rakan-rakan ke rumah berkenaan adalah untuk mendekatkan diri kami kepada golongan seperti mereka. Kami juga ingin memberi sumbangan dan menunjukkan nilai keperikemanusiaan terhadap golongan seperti mereka. Kami cuba untuk menangkis tanggap sesetengah pihak yang hanya membantu untuk mendapatkan perhatian semata-mata. Bagi saya, sesuatu perkara yang kita lakukan perlulah disertakan dengan keikhlasan. Tanpanya segala penat lelah kita tidak akan diberkati oleh-NYA. Lawatan Kami ini juga bertujuan untuk mendalami bagaimana insan-insan istimewa ini menjalani kehidupan seharian dalam meneruskan cabaran hidup.

Ketibaan kami telah disambut oleh warga Rumah Amal Limpahan Kasih. Suasana sangat sunyi sepi pada mulanya. Kami dimaklumkan bahawa aktiviti akan bermula pukul 2.30 petang memandang adik-adik putera ke masjid untuk bersolat Jumaat. Kami juga diberitahu bahawa sesetengah daripada adik-adik putera perlu menghadiri jamuan makan. Manakala adik-adik puteri pula tidak tinggal di tempat yang kami lawati. Rumah Amal Limpahan Kasih yang terletak di Kg. Sri Aman Batu 13 merupakan asrama putera yang menempatkan adik-adik putera manakala asrama puteri pula di terletak di Bandar Bukit Puchong. Walaupun bilangan mereka sedikit kami berusaha juga untuk memberi yang terbaik kepada mereka.

Pada dasarnya kami telah merancang untuk membuat aktiviti menilai persepsi individu. Tetapi setibanya kami di sana, kami berasa agak sukar untuk meneruskan aktiviti yang telah kami rancang. Kami menggunakan plan B, iaitu membuat aktiviti bermain iaitu ‘goreng pisang’. Permainan ini dipilih berdasarkan tahap adik-adik yang rata-ratanya dalam lingkungan 5 tahun hingga 15 tahun. Kami juga gusar kerana pada mulanya agak sukar untuk mendapatkan perhatian dan komitmen daripada mereka bagi menjayakan aktiviti. Tetapi alhamdulillah pendekatan kami berjaya. Semua rakan yang mengikuti program itu dianjurkan untuk berada bersama-sama dalam kalangan adik-adik ini supaya mereka lebih berminat untuk menyertai permainan tersebut. Dari awal juga kami telah merancang bahawa setiap kumpulan adik-adik tersebut akan mendapat hadiah. Ini sebagai salah satu usaha memberi penghargaan kepada mereka. Suasana agak gamat dalam ruang yang sangat terhad. Saya dapat lihat mereka sangat terhibur dan memberi respon yang sangat baik semasa permainan dijalankan. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang lain adik-adik Rumah Amal Limpahan Kasih bersungguh-sungguh mengikuti.

Walaupun tempoh lawatan kami ke Rumah Amal Limpahan Kasih hanya setengah hari, namun masa kami dihabiskan dengan sewajarnya untuk menggembirakan dan menghiburkan hati anak-anak tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah ungkapan yang dapat saya coretkan apabila melihat anak-anak kecil, menghabiskan sisa alam kanak-kanak mereka tanpa belaian ibu dan kasih seorang bapa. Bagi kanak-kanak yang masih belum mengenal erti kehidupan. Namun banyak yang saya pelajari dari aktiviti ini untuk menjadi seorang yang lebih mesra dengan masyarakat umum. Saya dapat melihat wajah gembira terpancar di raut wajah setiap kanak-kanak tersebut. Kegembiraan yang terpancar di wajah insan-insan ini membuatkan diri ini begitu tersentuh. Bagi mereka kehidupan hanyalah sementara. Mereka redha dengan ketentuan-NYA. Mereka berusaha untuk merasai kedamaian. Walaupun di sudut hati mereka penuh syahdu dalam merentasi ranjau kehidupan dunia. Saya terasa agak terharu sewaktu dipenghujung program. Sayu hendak meninggalkan adik-adik tersebut. Mereka bersalaman dan mencium tangan. Lambaian mereka juga seperti tidak merelakan kepulangan kami semua. Kata Ariff yang merupakan salah seorang penghuni asrama, ‘Kak Min, lain kali datanglah lagi melawat kami ya’. Saya seperti ingin mengalirkan air mata sewaktu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ariff. Tetapi saya menahan sebak di dada. Tidak mahu menunjukkan kesedihan. Takut-takut akan membuatkan adik-adik turut berasa sedih.

Secara keseluruhannya, pelbagai perasaan dan pengalaman yang saya alami sepanjang mengikuti kursus BBM 3410 pada semester ini. Semua perasaan bercampur baur. Dalam manis ada pahitnya, dalam baik ada buruknya. Seperti perumpamaan “dalam setandan pisang tidak semuanya baik dan boleh dimakan”. Begitulah perumpamaan yang boleh saya gambarkan semasa saya menjalani saat-saat bersama rakan-rakan dan pensyarah di dalam kursus BBM 3410.

Tidak dapat dinafikan pada mulanya saya berasa sangat tertekan semasa mengikuti kelas ini. Tetapi gaya dan tutur kata Dr. Normaliza telah membuatkan hati ini lembut untuk terus mengikuti kursus ini. Banyak perkara sebenarnya yang telah saya pelajari dari kursus ini selain daripada ilmu Bahasa Dalam Multimedia. Aspek nilai kemanusiaan, kehidupan dan bak kata segala-galanya saya perolehi. Dalam kursus ini segala kerja dan tugasan hendaklah diselesaikan dalam tempoh kuliah. Hendak kata diri ini tidak tertekan adalah satu penipuan. Tetapi itulah kenyataan yang perlu saya lalui dan mencari alternatif untuk menerima cara yang dilakukan oleh beliau sebagai dorongan dan semangat untuk berjaya. Setiap aktiviti atau tugasan yang diberikan sebenarnya banyak meninggalkan kesan dalam diri saya serta pendedahan yang membuka minda saya mengenai suasana persekitaran dan kehidupan sebagai mahasiswa khususnya dan sebagai penyumbang kepada masyarakat amnya.

Sesungguhnya manusia sering menantikan kehidupan yang membahagiakan begitu juga anak-anak yang menetap di Rumah Amal Limpahan Kasih ini. Sesungguhnya kehidupan kita ini ibarat sebuah kapal yang belayar di lautan dalam dan telah ramai manusia yang karam di dalamnya. Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang bernama taqwa, muatannya iman sedang layarnya pula adalah tawakal kepada Allah SWT. Daripada kursus ini juga saya telah belajar berkomunikasi dengan masyarakat luar. Program melawat ke Rumah Amal Limapahan Kasih Ini merupakan satu cara mendekatkan para pelajar universiti dengan masyarakat luar terutama insan-insan yang memerlukan pertolongan. Program melawat ke Rumah Limpahan Kasih, Puchong merupakan satu pengalaman manis bagi diri saya kerana dapat melihat pelbagai reaksi dan kisah hidup adik-adik yang melalui kehidupan dengan penuh keazaman. Sesungguhnya apabila kita ingin berbuat baik, manusia sukar untuk mempercayainya. Kita perlu berusaha untuk memastikan orang lain yakin pada perbuatan baik yang kita lakukan. Jangan sesekali kita berhenti berbuat baik terhadap manusia kerana setiap perbuatan baik kita akan dibalas oleh-NYA.

Namun begitu, perkara utama yang dapat saya lihat dan alami daripada kursus ini iaitu sikap dan sifat yang ditonjolkan oleh pensyarah dan tutor saya iaitu Dr. Normaliza dan Cik Aliya. Mereka berdua sangat menghargai setiap hasil kerja para pelajar. Komitmen yang ditunjukkan oleh mereka berdua seharusnya dicontohi oleh pensyarah-pensyarah yang lain. Jika dahulu semasa disekolah rendah dan menengah saya masih teringat akan ada pertandingan guru paling popular, guru paling cool, guru paling sporting dan sebagainya mungkin akan disandang oleh mereka berdua. Tetapi dengan gelaran Pensyarah dan tutor paling popular.

Di samping itu, penghargaan atau pujian dalam bentuk intangible yang diberikan oleh pensyarah telah berjaya menaikan semangat pelajar. Hal ini demikian kerana, setiap manusia ingin dihargai. Setiap manusia ingin disayangi. Kenapa Nabi menyuruh kita memberi makan kepada anak yatim? Kerana anak yatim juga manusia. Mereka juga mempunyai sekuntum jiwa ingin dikasihi. Di dalam Islam tidak ada sistem kasta. Kerana Nabi tidak mahu yang kaya terus kaya, yang miskin akan terus hidup terbiar. Namun, Nabi ajar kita : yang kaya membantu yang miskin, yang gagah membantu yang lemah, yang cantik tidak menghina yang hodoh, yang pandai tidak menghina yang bodoh, maruah orang lain tidak diceroboh, rumahtangga orang jangan diroboh, yang tua mengasihi yang muda, yang muda hormati yang tua. Sering terungkap dari bibir manusia, kenapa yang kaya perlu bantu yang miskin? Kerana orang miskin juga manusia. Dia juga mempunyai jiwa yang ingin disayangi. Kenapa yang cantik jangan menghina yang hodoh? Kerana yang hodoh juga penghias alam ini. Mereka juga ingin merasai rahmat Tuhan dalam kekerdilan diri. Oleh itu, titiskanlah kasih sayang kepada setiap insan tanpa membeza-bezakan mereka. Kerana kalau kita tidak menganjurkan kasih sayang kepada anak yatim dan orang miskin, Allah SWT akan mengkecam kita sebagai orang yang mendustakan agama. Oleh itu, takutilah Allah SWT. Sayangi semua manusia. Bukankah di dalam setiap jiwa kita ini ada naluri ingin menyayangi dan ingin disayangi? Belailah hati setiap insan dengan mutiara kasih sayang yang wujud di dalam hati kita kepada ibu bapa, sahabat handai, yang muda dan yang tua serta mereka yang memerlukan. Doakanlah kebaikan saudara-saudara kita agar berkembang dalam sejahtera. Iman dan kasih sayang, hakikat bahagia. Itulah keperluan sebenar hidup manusia.

“Untuk Tengku Noraiza, Aznildha, Sri Ayu Kartikawati dan Suhaila, terima kasih kerana menjadi teman bersama. Moga PERSAHABATAN kita tidak hanya wujud di dalam kelas Bahasa Dalam Multimedia tetapi untuk selamanya”

“Untuk Dr. Normaliza dan Cik Aliya kami pelajar BBM 3410 semua gembira menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kalian. Kenangan bersama masih tersemat di ingatan”.

“Kalian ibarat mustika hati kami”

Pulau Pangkor indah dipandang,

Dari jauh nampaknya tenang,

Hendakku tinggal terasa sayang,

Budimu tuan ku bawa pulang.

Hasil nukilan ini saya coretkan diwaktu senggang saya memandangkan semester ini merupakan semester terakhir saya bersama rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah. Mungkin esok tiada lagi bagi saya. Di kesempatan yang ada ini, saya memohon ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki atas tutur kata yang tidak sedap didengar, lawak yang menyentuh jiwa…

Di kesepian ini
Bersama nyanyian kerinduan
saya mula membayangkan
Detik-detik kita bersama
Mengharungi lautan bersama demi satu perjuangan

Menuruni lurah dan lembah
Demi mencari secebis sinar
Bekalan hari esok
Di sebalik pencarian itu
Terselit sebuah ikatan persaudaraan
Diulit bersama ukhwah persahabatan
Yang sukar diungkaikan

Namun
Tanpa diduga
Lautan tenang tetap bergelora
Adakah bahtera kasih yang dibina ini akan dilanda
badai gelora
Dihempas oleh sang ombak yang menggila
Akan terungkaikah sebuah ikatan?
saya telah cuba menyelamatkannya dari musnah
Tapi apakan daya diriku ini tak mampu lagi
menanggung beban ini

Saya merantau mencari diriku semula
Dimanakah saya kini
Akan kembalikah ketenangan dan kegembiraan
Yang pernah saya miliki dulu?
Lubuk hatiku dilanda resah, sedih, pilu dan rindu
Akan sebuah kemesraan yang pernah tercipta dahulu
Deraian air mata mengiringi semuanya

Pagi menyerlah kembali
Bangkit saya mencari ketenangan
Bagai tersedar dari mimpi
Di puncak kegelisahan
Kuharap sinar ini merubah segalanya
Akan kubawa haluanku sendiri
Akan kuteruskan perjuangan ini demi
menggenggam sebuah kejayaan
Kemaafan kupinta sepanjang kita bersama
Bisa mengguris hati masing-masing
Harapanku agar sahabat-sahabatku berjaya dalam hidup ini
Meneruskan perjuanganmu…”

No comments: